KISAH PEMBANGUNAN SEBIDANG TANAH KECIL YANG BERNAMA TANDANG SERI VILLAGE DI PULAU TUBA, LANGKAWI - PART 1
TANDANG SERI VILLAGE, nama diberi. Terletak di Pulau Tuba, sebuah pulau kecil diantara 99 pulau-pulau semula jadi yang terdapat di Langkawi. Jikalau anda ke Pulau Tuba dan bertanyakan kepada penduduk kampung, tempat manakah yang wajib dilawati, pasti mereka akan memberitahu bahawa Tanjung Pandan adalah salah satu tempat tarikan utama di Pulau Tuba. Lautnya sangat cantik dan jernih. Pasirnya putih serta halus. Anda akan dapat melihat pemandangan laut dan pulau-pulau yang indah di Tanjung Pandan. Langkawi juga jelas kelihatan dari sini. Berani saya katakan bahawa Pulau Tuba dan pulau-pulau lain di Langkawi adalah setanding dengan Maldives.
Di Pulau Tuba terdapat sebuah tanjung yang cantik yang diberi nama Tanjung Pandan. Di sinilah terletaknya Tandang Seri Village. Sebuah perkampungan kecil yang dimiliki oleh Dato' Sr. Zulkefli bin Mohd. Zain (ayah saya). Sudah lama saya rahsiakannya tapi kerana sudah ramai yang mengetahuinya jadi tidak perlulah saya nak berahsia lagi.
Wakaf Terapung di Tandang Seri Village, di Tanjung Pandan.
Foto oleh: Le BARISHA
Lebih kurang 5 tahun yang lalu, kami dimaklumkan oleh kenalan ayah bahawa terdapat beberapa buah tanah yang ingin dijual oleh penduduk kampung di Pulau Tuba. Adalah merupakan impian besar ibu dan ayah saya untuk memiliki sebidang tanah di tepi pantai, maka mereka pon segera menaiki bot ke Pulau Tuba bagi melihat tanah-tanah tersebut.
Jambatan yang Menghubungkan Pulau Tuba dan Pulau Dayang Bunting.
Foto oleh: Le BARISHA
Pulau Tuba terletak bersebelahan dengan Pulau Dayang Bunting. Namun begitu, Pulau Dayang Bunting adalah lebih terkenal berbanding Pulau Tuba. Untuk ke Pulau Tuba, anda perlu menaiki Bot Penambang selama 8-13 minit dari Jeti Pekan Rabu atau Jeti Marble yang berada di Langkawi. Bot Penambang adalah pengangkutan utama untuk penduduk berulang alik dari Langkawi ke Pulau Tuba. Tambang bot adalah lebih kurang RM5-RM10 mengikut kepadatan bot. Kebiasaannya Bot Penambang akan menunggu bot mereka penuh dahulu sebelum bertolak. Tapi, jika anda tidak mahu menunggu anda boleh sahaja "Charter" bot tersebut dengan bayaran RM60-80 (siang hari). Tambang Charter bot pada waktu malam adalah lebih mahal kerana dikira sebagai "Over Time".
Jeti Utama Pulau Tuba.
Foto oleh: Le BARISHA
Saya boleh katakan bahawa susana di Pulau Tuba adalah seperti kehidupan pada tahun 70-80an. Di Pulau Tuba anda tidak akan menjumpai kenderaan mewah atau teksi. Tiada stesen minyak / kedai / restoran yang besar. Hotel mewah juga tiada akan tetapi terdapat banyak Homestay dan Chalet yang menarik. Di sini anda boleh menyewa motor dari penduduk kampung atau menaiki van-van yang boleh dikategorikan sebagai teksi di sini. Jika anda sukakan kehidupan kampung dan keindahan alam maka inilah tempat yang wajib anda lawati. Tapi jika anda hanya gemarkan kehidupan bandar maka ini bukanlah tempat yang sesuai untuk anda.
Ayah dan Angah Meneroka Tanjung Pandan.
Foto oleh: Le BARISHA
Ketika mula-mula menjejak kaki ke Tanjung Pandan ibu dan ayah terkejut melihat kawasan yang penuh dengan semak samun dan sampah sarap. Sungguh sedih dan kecewa. Kawasan ini seperti kawasan terbiar yang tidak berjaga. Pantainya juga kotor penuh dengan sampah sarap. Tidak ramai pengunjung yang datang.
Inilah Screenshot Video Ibu hantar pada kami.
Kami dimaklumkan bahawa tapak tanah untuk Tandang Seri Village ini merupakan bekas kilang lama yang telah ditinggalkan. Terdapat 2 buah bangunan usang dan beberapa bekas peninggalan kilang lama di laut.
Bekas Peninggalan Kilang Lama.
Ibu dan Ayah Meneroka Kawasan Tanjung Pandan bersama Kak Suria & Abang Hisham.
Ibu dan Ayah agak kecewa melihat keadaan tanah yang ingin dibeli. Namun begitu, ketika mereka memandang ke arah laut yang Indah, mereka seolah-olah dapat membayangkan keadaan tanah ini jika dibersihkan dan dibuat sedikit pembangunan. Akhirnya, mereka mengambil keputusan untuk membeli tanah ini setelah berbincang dengan kami adik-beradik..
Keadaan Tandang Seri Village Setelah Dibersihkan.
Foto Oleh: Ibu
Ayah segera menguruskan hal jual beli tanah. Seterusnya, mengupah beberapa orang penduduk kampung untuk membersihkan kawasan Tandang Seri Village. Alhamdulillah setelah dibersihkan, tanah ini mula kelihatan sedap mata memandang. Namun begitu, kawasan pantai yang kotor amat menyakitkan mata yang memandang. Oleh itu, sekali lagi Ayah mengupah penduduk kampung untuk membersihkan kawasan sepanjang pantai di Tanjung Pandan, bukan setakat kawasan kami sahaja malah seluruh kawasan pantai.
Keadaan Tandang Seri Village Setelah Dibersihkan.
Foto Oleh: Ibu
Setelah tanah dibersihkan oleh orang kampung, ayah sudah tidak sabar hendak membawa kami melihat dan tolong membersihkan bangunan-bangunan lama di situ. Ya, ayah kami memang tak sabar dan terlalu bersemangat. Oleh kerana, tiada tempat untuk tidur, kami bersihkan sahaja bangunan lama ini dan siapkan sebagai tempat tinggal sementara. Kami tidur dalam Kantin usang tanpa pintu dan tingkap. Heh! Kalau kami bercerita berkenaan keadaan asal tanah ini ramai yang tidak percaya. Lebih-lebih lagi apabila kami beritahu kami hanya menginap di Kantin usang yang tidak berpintu dan tingkap. Nah, saya sertakan gambar sebagai bukti. Kami menginap di kantin ini sehinggalah kawasan ini siap dibersihkan dan ia mengambil masa berbulan-bulan lamanya.
Kantin Usang Tempat Kami Tidur. Mula-mula Kami Hanya Tidur atas Plastik Biru dan Toto sahaja. Kemudian, sedikit demi sedikit kami bawa barang-barang keperluan.
Kantin Usang Tempat Kami Tidur.
Kami memang sudah dibiasakan dengan kehidupan susah dan camping sejak kecil lagi, jadi kami boleh "survive" tinggal di bangunan usang ini. Nyamuk dan ulat memang banyak sekali. Ular, Kerbau, Lembu, Biawak dan Beruk pon ada. Nasib baik ayah ada mengupah seorang penduduk Langkawi yang bernama Mizal untuk membersihkan dan menjaga tanah ini. Dialah yang banyak membantu kami dengan kerja-kerja berat.
Pembangunan Tandang Seri Village bermula dari sini...
........Saya akan sambung lagi kisah ini di bahagian 2.....
Love;
Le BARISHA
Comments
Post a Comment